Sabtu, 18 Julai 2009

Pembangunan Asnaf Fakir dan Miskin; Suatu Pandangan

Asnaf fakir dan miskin wujud di mana-mana sahaja. Tidak kira dalam negara sedang membangun atau negara maju sekalipun. Pihak pemerintah tidak boleh menidakkan kewujudan kelompok ini dalam pentadbiran mereka. Ini kerana, kelompok ini akan terus wujud selagi mana matahari dan bintang sentiasa berada di langit.
Ramai di kalangan masyarakat masih tidak memahami apa yang dikatakan fakir dan miskin. Kedua-dua kelompok ini banyak disebut di dalam al-Quran. Fakir menurut perbincangan para ulama ialah seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50% daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya. Sebagai contoh, jika RM10 diperlukan bagi memenuhi keperluan asasi harian, maka pendapatan dia hanya mencapai RM5 sehari dan tidak lebih daripada itu.
Miskin pula disebut seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung keperluan orang-orang tanggungannya. Sebagai contoh, dia mempunyai pendapatan tidak melebihi RM10 dan tidak kurang daripada RM5.
Kelompok fakir dan miskin ini tidak selama-lamanya berada dalam keadaan yang sama. Mereka boleh berubah keluar daripada kepompong kefakiran dan kemiskinan, dengan syarat beberapa tindakan perlu dilaksanakan bersama. Bukan sekadar tindakan dilakukan oleh individu fakir itu, bahkan pihak pemerintah perlu juga menyediakan sokongan dan prasarana bagi membantu kelompok-kelompok ini.
Untuk melihat kumpulan fakir dan miskin ini dapat mengeluarkan diri mereka daripada kelompok, terdapat beberapa tindakan yang perlu dilakukan oleh mereka sendiri. Pertama ialah mereka perlu mempunyai keazaman yang kuat untuk mengubah keadaan mereka menjadi golongan yang berpendapatan tinggi. Ini kerana dengan keazaman yang kuat akan mendorong diri mereka bekerja dengan lebih gigih dan tekun lagi. Sebagaimana firman Allah surah Ar-Ra’du, ayat yang ke-11 yang bermaksud “….Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….”. Mereka berazam untuk melipatgandakan pencarian rezeki, berazam untuk tidak cepat putus asa, berazam untuk mencari rezeki yang halal, berazam tidak menipu ketika bekerja dan sebagainya. Yang penting adalah faktor keazaman.
Faktor kedua yang perlu dimiliki ialah sikap bekerja dengan gigih. Ini kerana untuk mendapat rezeki bukan dengan jalan yang mudah dan senang. Semuanya dengan kerja yang gigih. Untuk mendapat beras memerlukan tempoh yang lama bagi pokok padi untuk masak. Untuk membina sebuah tempat tinggal yang selesa memerlukan usaha yang gigih. Sikap bekerja dengan gigih memberi kegembiraan kepada pihak pekerja dan pihak majikan. Kedua-dua pihak akan mendapat faedah bersama. Justeru, faktor bekerja dengan gigih diperlukan bagi setiap individu yang fakir dan miskin bagi mengubah nasib dan status kehidupan mereka.
Pihak pemerintah juga tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk membantu kelompok fakir dan miskin ini. Pertama, pihak kerajaan perlu menyediakan program pembangunan insan yang berkala dan berterusan kepada kelompok fakir dan miskin ini. Program-program yang akan diadakan ini dapat memberikan peluang dan kaedah yang pelbagai kepada pihak asnaf agar mereka dapat merancang perjalanan kehidupan mereka. Program yang dilaksanakan ini bukan sekadar membincangkan mengenai peluang ekonomi dan pasaran, bahkan juga perlu diisi dengan modul-modul agama yang memberi penekanan terhadap aspek spiritual dan mental. Kesan daripada penerusan program pembangunan insan ini akan dapat memupuk dan membentuk setiap jiwa-jiwa individu ini ke arah yang lebih baik ditambah lagi dengan maklumat semasa mengenai peluang ekonomi.
Tindakan kedua yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan bagi membantu golongan ini adalah dengan menyediakan prasarana dan kemudahan kepada kelompok fakir dan miskin. Prasarana dan kemudahan ini boleh menjadi bentuk sokongan yang kuat kepada kelompok ini. Sebagai contohnya, jika ada di kalangan mereka ingin memulakan perniagaan atau menjadi usahawan, pihak kerajaan boleh menyediakan dana atau kemudahan untuk berniaga. Pada peringkat awal pelaksanaan perniagaan kecil dan sederhana, mereka mendapat sokongan yang kuat dan seterusnya dapat berdikari pada masa mendatang.
Pihak kerajaan juga boleh menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor awam kepada anak-anak keluarga kelompok ini berdasarkan kepada tahap pendidikan masing-masing. Dengan tindakan sebegini, anak-anak daripada kelompok ini akan mempunyai pekerjaan yang baik dan terjamin dan akhirnya akan membuka ruang kepada diri dan keluarga mereka daripada kelompok kemiskinan. Dalam perkara ini, pihak kerajaan boleh mewujudkan dasar dan polisi berdasarkan kemampuan dan keupayaan agar program pengurangan kelompok fakir dan miskin dapat dilaksanakan dengan jayanya. Keutamaan hendaklah diberikan kepada anak-anak fakir dan miskin dalam bidang pekerjaan sektor awam.
Menjadi harapan melihat umat Islam dapat membebaskan diri dan keluarga mereka daripada belenggu kemiskinan. Ini kerana sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud bahawa kemiskinan itu hampir dengan kekufuran. Justeru itu, untuk mengelakkan diri dan keluarga mereka daripada terjerumus dengan kekufuran, hendaklah kelompok ini berusaha dengan bersungguh-sungguh dibantu dengan pihak kerajaan bagi mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.
(artikel ini ditulis sebagai latihan dalam suatu kursus teman di ILIM pada hari Isnin hingga hari Khamis yang lepas dan berlaku beberapa penambahbaikan selepas itu)

Jumaat, 3 Julai 2009

Artikel... artikel... artikel...

Assalamualaikum dan salam sejahtera... teman minta maaf kerana dalam tempoh 2 minggu lebih sehinggalah ke hari ini, teman tidak dapat posting apa-apa artikel. Ini kerana dalam tempoh tersebut, banyak urusan kerja, hal pejabat dan lain-lain yang mengekang teman daripada menulis sebarang artikel..

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, cerita pawagam the transformers yang sedang ditayangkan sesuai untuk membina imaginasi... teman dah tengok cerita transformers ni... selamat menonton...