Selasa, 3 Mac 2009

Eksekutif vs Legislatif

Isu dan peristiwa yang berlaku dalam politik Perak telah membuka suatu lembaran baru dalam dunia politik dan pentadbiran di Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya. Malaysia dikatakan mengamalkan beberapa konsep demokrasi seperti demokrasi berparlimen, demokrasi terpimpin dan demokrasi raja berperlembagaan. Bentuk-bentuk demokrasi ini mempunyai perbezaan antara satu sama lain, tetapi yang pastinya tujuan kesemua bentuk demokrasi ini adalah membentuk warganegara Malaysia tidak kira apa jua pangkat serta kedudukan supaya menghormati undang-undang termasuklah dikotomi politik. Dikotomi politik bermaksud pembahagian kuasa sesebuah negara kepada tiga bahagian iaitu bahagian legislatif, bahagian eksekutif dan bahagian kehakiman.
Ketiga-tiga bahagian ini dinaungi oleh YDPA di peringkat persekutuan dan oleh Sultan di peringkat negeri. Setiap bahagian mempunyai ketuanya masing-masing. Bahagian kehakiman diketuai oleh ketua hakim negara/negeri, bahagian eksekutif diketuai oleh Perdana Menteri atau menteri besar manakala bahagian legislatif diketuai oleh Yg. Dipertua Dewan Rakyat atau speaker. Bahagian-bahagian ini hendaklah menghormati antara satu sama lain. Ini bermaksud bahagian kehakiman tidakboleh mencampuri urusan pengurusan bahagian eksekutif dan sebaliknya.
Perkara yang berlaku di Perak bermula dengan rampasan kuasa telah menimbulkan banyak perbincangan tentang sistem dikotomi politik. Permulaannya berlaku di mana perlantikan MB yang baru di kalangan adun BN oleh Tuanku Sultan. Seterusnya berlaku perlantikan exco-exco dan penasihat-penasihat. Pada masa yang sama, Speaker DUN Perak tidak ditukar dengan ADUN atau individu daripada BN. Ini kerana perlantikan speker dun hanya boleh dibuat dalam dun oleh kesemua ADUN. Oleh kerana itu, senario sebegini telah memperlihatkan bahawa bahagian eksekutif diketuai oleh MB BN manakala Speaker masih lagi daripada kumpulan PR. Tindakan speaker seterusnya bersama-sama dengan jawatankuasa hak dan kebebasan telah mendenda MB dan barisan exconya daripada memasuki DUN untuk tempoh yang tertentu dan 3 orang adun 'katak' telah diisytiharkan meletakkan jawatan.
Disusuli pula pada keesokannya harinya (3 Mac) akan diadakan sidang tergempar bagi membahaskan 2 usul yang dibawa oleh adun pr walaupun mendapat halangan dan tentangan daripada pelbagai pihak. Keputusan speaker untuk mengadakan sidang dun tergempar esok cuba dicampuri dan digagalkan oleh penasihat undang-undang kerajaan negeri perak dengan memberi pelbagai alasan.
Analisis yang dapat dilakukan daripada beberapa peristiwa yang terjadi dan berkaitan dengan tajuk artikel ini :
1. Beberapa kekeliruan dapat dilihat daripada aspek pengurusan sesebuah negeri apabila bahagian eksekutif terdiri daripada BN manakala ketua bahagian legislatif terdiri daripada adun pr. Sudah tentu apabila ketua kedua-dua bahagian ini berlainan parti akan menimbulkan pertembungan dan perselisihan yang besar. Sebagai contoh, bagaimana MB BN ingin mendapatkan persetujuan daripada ADUN-ADUN untuk perancangan perbelanjaan atau bajet negeri jika speaker tidak mahu mengadakan sidang DUN. Sudah tentu apabila bajet tidak dapat dibentangkan ke dalam sidang dun MB BN dan jentera pentadbirannya tidak boleh membuat apa-apa perbelanjaan daripada pendapatan yang didapati oleh kerajaan negeri Perak. Berkemungkinan kerajaan MB BN tidak boleh membayar gaji para pekerja kerajaan negeri kerana tidak mendapat kelulusan sidang dun.
2. Tindakan penasihat undang-undang kerajaan negeri ingin campurtangan serta membatalkan keputusan speaker bagi mengadakan sidang dun tergempar amat dikesali. Penasihat undang-undang merupakan sebahagian daripada jentera eksekutif. Pada peringkat awal perbincangan mengenai dikotomi politik, setiap bahagian perlu menghormati antara satu sama lain dengan tidak mencampuri urusan dan pengurusan bahagian lain. Tindakan penasihat undang-undang tersebut telah mencampuri pengurusan bahagian legislatif dan telah menghormati pembahagian kuasa yang telah dipersetujui oleh perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri.
Secara ringkas rumusannya, kita harus kembali melihat falsafah pembentukan perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri. Jika sesuatu undang-undang itu digubal dan dibentuk berdasarkan falsafah demokrasi, maka kita perlu menilai undang-undang itu daripada sudut demokrasi. Begitu juga pembentukan undang-undang daripada falsafah dan ideologi yang lain-lain. Justeru itu, setiap bahagian mesti menghormati antara satu sama lain dan sebaik-baik keputusan bersandarkan kepada etika dan nilai sesebuah masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan